
Pendedahan yang dibuat oleh Pengarah Wilayah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Mohd Fadil Sarehan pada 17 Julai 2024 bahawa 60% ataupun 1.3 juta daripada 2.3 juta orang tenaga kerja di Sabah tidak mendaftarkan diri sebagai pemegang akaun KWSP mengejutkan dan meresahkan.
Mohd. Fadil turut mengesahkan bahawa jumlah ahli pencarum KWSP di Sabah setakat Jun 2024 ialah 958,197 orang.
Persoalan kini timbul mengenai butiran intrinsik 1.3 juta orang ini – adakah mereka ini ialah pekerja asing bermusim atau kontrak yang bekerja di sektor perladangan dan pembinaan, pekerja gig, pekerja sambilan, pekerja gaji harian atau bekerja sendiri? Kekurangan butiran ini kini dipersoalkan.

Pada 21 Ogos 2023, Menteri Sumber Manusia Persekutuan pada ketika itu, V Sivakumar telah mengatakan bahawa dianggarkan lebih 800,000 pekerja di Sabah tidak dilindungi dibawah Ordinan Buruh dan mereka ini terdiri daripada pemegang kad IMM13, Sijil Banci, Kad Burung-Burung serta Pendatang Tanpa Izin.
Apa yang menarik ialah beliau (Sivakumar) juga mengatakan bahawa terdapat 169,800 orang di Sabah yang menganggur.
Jadi, adakah jumlah 800,000 dan 169,800 orang yang disebut oleh Sivakumar pada ketika itu membentuk 1.3 juta orang yang dikatakan oleh Mohd. Fadil?
Jika ya, maka satu perkara yang membimbangkan disini ialah jika Kerajaan Sabah yang diterajui oleh GRS cuai dalam melaksanakan proses rasionalisasi ataupun pengeluaran permit kerja kepada warga asing dimana mereka seterusnya memilih untuk membuat caruman KWSP, maka pada masa hadapan, mereka dengan mudah akan mengatasi penduduk tempatan Sabah mengenai bilangan pemegang akaun pencarum KWSP di Sabah.
Umum tahu bahawa warga asing di Sabah mengamalkan gaya hidup yang berjimat-cermat dan mereka yang telah dirasionalisasikan, mendapat pekerjaan dan seterusnya memilih untuk mencarum KWSP mungkin akan mempunyai lebih banyak baki simpanan berbanding penduduk tempatan Sabah apabila akaun mereka matang kelak. Ini seterusnya akan membolehkan mereka memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak mereka ataupun membuka perniagaan mereka sendiri di Negeri ini.
Kita harus sedar bahawa KWSP dikawal-selia oleh Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 dan dari segi polisi Kerajaan Persekutuan, caruman KWSP oleh pekerja asing bukanlah satu kemestian tetapi mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian. Justeru, tiada apa-apa yang sebenarnya boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri sekiranya warga asing di Sabah memilih untuk membuat caruman KWSP.
Dan walaupun kita menolak jumlah 969,800 orang (berdasarkan angka yang dinyatakan oleh Sivakumar) dari 1.3 juta orang yang tidak mencarum itu, kita masih mempunyai baki lebih kurang 330,000 orang. Persoalan yang timbul sekarang ialah siapakah 330,000 orang ini?
Ketua Menteri, Hajiji Mohd Noor dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga telah mengesahkan bahawa jumlah miskin tegar di Sabah telahpun dikurangkan menjadi dibawah 10,000 orang dan saya kini tertanya-tanya samada terdapat hubung-kait antara pengesahan mereka itu, 169,000 penganggur di Sabah dan baki 330,000 orang yang tidak mempunyai akaun KWSP.
Saya menyeru Kabinet Negeri yang diketuai GRS/PH untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai perkara ini dan dalam pada yang sama, saya juga mengesyorkan penubuhan Makmal Khas yang diterajui oleh UMS dan IDS untuk membuat penyelidikan mendalam ke atas 1.3 juta orang di Sabah yang tidak mempunyai akaun KWSP dan bagaimana untuk mengenalpasti sebarang persoalan yang timbul berikutan dengan pendedahan seperti yang dinyatakan di atas.
DARELL LEIKING
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI MOYOG
TIMBALAN PRESIDEN, PARTI WARISAN
18 JULAI 2024