
PENAMPANG : Parti Warisan meminta Majlis Perbandaran Penampang memastikan sistem perparitan di Taman Oriental, Penampang bebas daripada tumbuh-tumbuhan liar yang menyebabkan genangan air dan pembiakan haiwan perosak seperti nyamuk, tikus dan ular.

Ketua Penyelaras Warisan DUN Kepayan, Sam Koh Chik Ping berkata pihak berkuasa tempatan juga haruslah berusaha untuk memastikan pemeriksaan berkala dikawasan perumahan dilakukan untuk mengelakkan tumbuhan liar berleluasa yang bukan sahaja boleh mendatangkan risiko kesihatan tetapi juga kerosakan pada saliran atau talian elektrik.

“Penduduk Taman Oriental telah memaklumkan kepada kami mengenai tumbuhan liar seperti pisang dan akuatik yang menyebabkan sistem perparitan tersumbat dan air bertakung.
Ketika pemeriksaan dibuat, kami dapati genangan itu mengeluarkan bau yang busuk dan nyamuk boleh dilihat berterbangan di seluruh kawasan.

Kami berharap PBT Penampang akan dapat membantu dalam kerja pembersihan sistem perparitan di sini kerana adalah tidak adil untuk meminta penduduk membayar cukai pintu suku tahunan tepat pada masanya tetapi perkhidmatan penyelenggaraan yang diberi pula kurang memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas pasukannya melawat kawasan itu hari ini (Ahad).

Ahli Warisan yang terlibat dalam pemeriksaan di Taman Oriental dan Taman Everlicked pada Ahad semalam ialah Ketua Bahagian Penampang, Jeffrey Leiking, Ketua Wanita Bahagian, Junny Simol, Timbalan Ketua Wira Bahagian, Jeremiah Stambul dan Pembantu Politik Datuk Darell Leiking, TV Yong.
Sam juga meminta Majlis Perbandaran Penampang untuk meninjau semak belukar di Lorong Puluduk 4 di Taman Puluduk Yue Min yang dikhuatiri oleh penduduk di taman tersebut yang mungkin menjadi tempat persembunyian ular ataupun pencuri.

“Saya berharap Majlis Perbandaran Penampang dapat melihat perkara ini dan mungkin mengarahkan atau memaklumkan pemiliknya untuk membersihkan kawasan semak samun ditanahnya itu.

Kami tiada masalah dengan pemilik ataupun sesiapa sahaja yang menggunakan tanah tersebut untuk menanam tanaman seperti sayur-sayuran tetapi sekurang-kurangnya mereka perlulah memastikan kawasan itu sentiasa bersih,” akhirinya.