Tanggungjawab Persekutuan dan Hak Di Bawah Perlembagaan Tidak Sama.

Penjelasan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai pendedahan yang dibuatnya pada Mei lalu bahawa RM16 bilion yang diterima oleh Sabah pada 2024 sebenarnya meliputi jumlah peruntukan untuk pembiayaan sekolah, gaji guru, keselamatan sempadan, penyelenggaraan jalan raya dan Lebuhraya Pan Borneo bukan sahaja menimbulkan kejutan dikalangan pemimpin politik di negeri ini tetapi juga aktivis MA63 dan rakyat biasa Sabah secara amnya.

Sekali lagi, saya tekankan di sini untuk kita mengekalkan perbezaan yang jelas antara (a). peruntukan pembangunan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dan (b). kelayakan perlembagaan untuk Sabah (kelayakan hasil cukai 2/5 Sabah).

Perkara pertama yang ingin saya ketengahkan ialah jurang 3 bulan yang diperlukan untuk Anwar mengeluarkan penjelasannya. Sebagai seorang Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab memberikan penjelasan terperinci dengan segera apabila ucapannya pada bulan Mei menimbulkan kekecewaan bukan sahaja dikalangan rakyat Sabah tetapi juga pemimpin GRS yang lain.

Malah perkara berkaitan RM16 bilion itu juga telah dibawa oleh Ahli Parlimen Sabah di Parlimen maka persoalannya disini ialah mengapa beliau memilih untuk berdiam diri dan tidak membuat penjelasan sehingga semalam?

Adakah keputusannya untuk berdiam diri sebelum ini ada kaitan dengan hak 40% Sabah keatas cukai yang dikutip yang sepatutnya diselesaikan oleh Majlis Tindakan dan Perlaksanaan MA63 (MTPMA63) pada 18 Julai yang lalu?

Kedua, apa yang disebut secara khusus oleh Anwar ialah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang terkandung dalam Senarai Persekutuan yang mesti dilaksanakan untuk kebaikkan Negeri Sabah.

Jika Perdana Menteri berasa keliru dengan keperluan dan tuntutan pembangunan Sabah, maka biarlah Sabah menguruskan sumber negeri ini sendiri seperti minyak dan gas manakala pada masa yang sama, kita uruskan senarai ini.

Azhar Matussin

Seorang Perdana Menteri mesti tahu bagaimana untuk meyusuri sejarah politik Sabah dan mempunyai pemahaman mengenai keperluan kita untuk mengekalkan identiti Sabah sepertimana yang dipersetujui oleh semua semasa pembentukan Persekutuan Malaysia dan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak boleh ada sebarang usaha untuk ‘Me-Malayakan’ Sabah dengan membuat penyesongan dari semangat dan niat asal MA63 ataupun memperlakukan peruntukan kewangan kepada Negeri Sabah setaraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Pendek kata, pengetahuan yang mendalam diperlukan dan penghormatan mesti diberikan terhadap ‘Tanggungjawab Persekutuan’ dan ‘Hak Sabah’ dibawah Perlembagaan Malaysia dan adalah tidak wajar bagi mana-mana Perdana Menteri untuk mengadu mengenai perkara ini.

Pada pengiraan yang sangat mudah, RM16 bilion itu sepatutnya merangkumi peruntukan pembangunan RM6 kepada Sabah manakala baki RM10 bilion pula dibelanjakan untuk pendidikan, penjagaan kesihatan, infrastruktur dan keselamatan sepertimana yang disebut oleh Anwar dalam ucapannya, jadi mungkin Kerajaan Negeri pimpinan GRS boleh mengesahkan kepada kita semua sama ada sebarang jumlah daripada baki ini telah disalurkan ke Senarai Negeri dan Bersama.

Rakyat Sabah kini percaya bahawa tidak akan ada lagi tindakan lanjut oleh MTPMA63 sehingga 31 Ogos atau 16 September dan pendek kata, akan ada lagi jurang sekurang-kurangnya sebulan sebelum kita mendengar dia (Anwar) berkata sesuatu lagi.

Jika ini berlaku, maka tidak akan ada penyelesaian tuntas mengenai kelayakan 40% ini jika kelewatan demi kelewatan terus menghantui kita justeru GRS perlu mempertimbangkan cadangan Warisan agar satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Tetap [Parliament Special Select Committee (PSC)] berkaitan dengan 2/5 ( 40%) kelayakan dan MA63 ditubuhkan di Parlimen sebagai tindakan afirmatif pemimpin-pemimpin Sabah dan juga untuk menggalakkan ketelusan serta menghalang sebarang percubaan untuk menangguhkan pelaksanaan MA63.

Jika GRS bersetuju untuk membentangkan cadangan tersebut di Dewan Undangan Negeri yang akan datang untuk dibahaskan dan diluluskan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri kita, Warisan tidak mempunyai masalah untuk menyokong keputusan ini.

AZHAR MATUSSIN
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau
Bendahari Agung Parti Warisan
5 Ogos 2024

  • Related Posts

    Sabah Tidak Akan Maju dengan Mentaliti ‘Gaji Tidak Cukup Makan’ — Warisan Seru Kepimpinan Berintegriti, Ada Visi dan Berdisiplin.

    KOTA KINABALU: Parti Warisan hari ini ingin merujuk kepada kenyataan terbaharu oleh Datuk James Ligunjang bertajuk “Sabah’s Remarkable Rise” yang disiarkan dalam JesseltonTimes. James sekali lagi mengulangi alasan lapuk yang…

    Read more

    Sabah Cannot Progress with ‘Gaji Tidak Cukup Makan’ Mentality — We Need Leaders with Integrity, Vision and Discipline.

    PARTI Warisan today would like to refer to the latest statement by Datuk James Ligunjang, titled Sabah’s remarkable rise, JesseltonTimes. James continues parroting the same tired excuses while failing to grasp…

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *