
Kegagalan Kerajaan Madani untuk memuktamadkan tuntutan Sabah keatas hak 2/5 (40%) cukai yang dikutip dibawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan pada 18 Julai menunjukkan kepada kita bahawa Majlis Tindakan Dan Perlaksanaan MA63 (MTPMA63) tiada komitmen untuk menyelesaikan perkara ini.
Satu perkara yang tidak diketahui umum ialah perbincangan mengenai hak 2/5 ini (serta lain-lain isu berkaitan dengan MA63) sebenarnya telahpun bermula pada 2018 dengan penubuhan satu Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 (JKKMA63) yang dianggotai oleh Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohammed, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Haji Openg, Bekas Ketua Menteri, Shafie Apdal, bekas pemimpin-peminpin tertinggi PH seperti Azmin Ali, Saifuddin Abdullah, Baru Bian dan pemimpin lain seperti Darell Leiking, Anthony Loke dan Lim Guan Eng.
Tiada siapa boleh mempertikaikan komitmen dan fokus yang diberikan oleh Warisan melalui Shafie Apdal, Darell Leiking dan mendiang VK Liew bila mana kesemua mereka telah bertungkus-lumus untuk menjayakan JKKMA63 dan memainkan peranan yang penting dalam penghasilan ’21 Isu MA63′.
Mesyuarat pertama JKKMA63 telah diadakan pada 17 Disember 2018 dan tidak sampai setahun, Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak telah mencapai kata sepakat dalam 17 isu manakala 4 isu yang berkaitan dengan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, galian minyak dan medan minyak, Laut Wilayah Akta 2012 dan hak Negara ke atas pelantar benua tidak sempat dinoktahkan.

Ini menunjukkan keupayaan Shafie Apdal dan Darell Leiking dalam menyusuri birokrasi Persekutuan yang kompleks serta untuk mendapatkan kerjasama yang diperlukan daripada pemimpin-pemimpin PH 1.0 ketika itu mengenai apa-apa perkara yang berkaitan dengan MA63 (walaupun ada yang enggan berbuat demikian).
Dan daripada 3 pemimpin Warisan dalam JKKMA63 ini, sangat malang sekali apabila pengundi-pengundi Penampang telah ‘membunuh’ Darell Leiking, individu yang sebenarnya merupakan penggerak utama di belakang tabir dalam perbincangan berkaitan ’21 Isu MA63′ ini di peringkat persekutuan.
Apabila Muhyiddin Yasin mengambil-alih Kerajaan Persekutuan pada 2020 dan seterusnya digantikan pula oleh Ismail Sabri pada 2021, Kerajaan Persekutuan terus menggunakan ’21 Isu MA63′ yang sama dan sehingga hari ini selepas Kerajaan Madani dibentuk pada 2022.
Walaupun terdapat pertukaran pemimpin-pemimpin politik, perkara pokok mengenai MA63 telah pun diputuskan manakala pegawai-pegawai Kerajaan yang ditugaskan untuk mengendalikan perkara ini kekal di kementerian masing-masing maka sepatutnya tidak ada lagi alasan untuk menangguhkan pelaksanaan MA63.
Tetapi apa yang sangat mengecewakan sekali ialah, diantara keempat-empat Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam perbincangan 21 Isu MA63 ini, Anwar Ibrahim mempunyai masa yang paling lama (setakat ini), mempunyai Kerajaan yang cukup stabil dan mendapat pula sokongan penuh dari Sabah dan Sarawak berbanding dengan Mahathir Mohammed, Muhyiddin Yasin atau Ismail Sabri – namun Anwar tidak dapat membuat penyelesaian terhadap baki 4 isu itu termasuklah tuntutan Sabah keatas hak 2/5 cukai yang dikutip.
Adakah beliau sedar bahawa PKR telahpun memasukkan satu peruntukkan untuk menghormati, menegakkan dan melaksanakan MA63 dalam perlembagaan partinya itu ketika Mesyuarat Agung Tahunannya pada November 2013 (selepas PRU13)?Mungkin lebih baik Anwar meminta Setiausaha Agungnya untuk memansuhkan peruntukkan berkaitan dengan MA63 ini.
Saya mahu memberitahu Anwar Ibrahim bahawa ‘Sabah ialah Sabah’ dan dia mesti menghormati apa sahaja keistimewaan yang perlu dinikmati oleh Sabah dan yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa pengasas negara sebagai balasan untuk mereka bersetuju menandatangani dan membentuk Persekutuan Malaysia.
Apa sahaja yang telahpun dipersetujui dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia mesti dihormati dan oleh kerana kita telahpun menyelesaikan kebanyakan perkara dalam 21 Isu MA63 ini, kita sekarang mahukan pelaksanaannya dengan segera.
Jika tidak ada jawapan yang memuaskan diberikan terhadap seruan rakyat Sabah yang semakin kepada Kerajaan Madani untuk menghormati hak dan keistimewaan Sabah, maka rakyat Sabah dan Parti Warisan sentiasa mempunyai pilihan untuk memilih dan berkerjasama dengan orang lain yang memahami keperluan dan kesusahan kita.
TERRENCE SIAMBUN
NAIB PRESIDEN, PARTI WARISAN
7 OGOS 2024