
Pendekatan keras dengan merobohkan rumah-rumah kediaman milik komuniti Orang Asal yang menduduki tanah milik Kerajaan oleh Jabatan Tanah dan Ukur yang terjadi di Kg. Liawan, Keningau serta isu pengambilan tanah di Kg. Pituru, Lok Kawi mengecewakan dan tidak wajar.
Walaupun Jabatan Tanah dan Ukur secara amnya berkuasa untuk berbuat sedemikian, namun Ketua Menteri, Hajiji Mohd Noor (ataupun mana-mana dari ketiga-tiga timbalannya) sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan penduduk-penduduk kampung yang terlibat dan menjelaskan kepada mereka mengapa tindakan sedemikian perlu diambil.
Ini adalah kerana Jabatan Tanah dan Ukur di kawal-selia oleh Pejabat Ketua Menteri dan sebagai pemegang amanah keatas tanah-tanah milik Kerajaan Negeri, Hajiji bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan yang sepatutnya kepada mereka yang terkesan.
Konsep pemegang amanah ini bolehlah digambarkan keadaannya seperti di Semenanjung Malaysia dimana Menteri Besar (MB) ataupun Ketua Menteri akan memberikan penjelasan secukupnya setiap kali terjadinya konflik antara Kerajaan Negeri dan penghuni tanah milik Kerajaan seperti dengan jawatankuasa pengurusan kuil ataupun dengan penduduk kampung yang menduduki tanah rizab.

Persoalan kini timbul sama ada wujud motif lain dalam kerja-kerja merobohkan rumah-rumah serta pengusiran komuniti Orang Asal oleh Kerajaan GRS tanpa sebarang rasa belas kasihan. Adakah tanah-tanah ini (ataupun sebahagian daripadanya) sebenarnya telah dikenalpasti untuk projek usahasama yang mahu disegerakan oleh ahli-ahli politik dan broker yang tidak bertanggungjawab, tamak dan tidak mempedulikan nasib komuniti Orang Asal semata-mata untuk imbuhan wang ringgit?
Sikap berdiam diri yang berterusan oleh pemimpin-pemimpin GRS bukan sahaja berkaitan dengan Liawan dan Pituru tetapi juga dengan dakwaan-dakwaan mengenai rampasan tanah di Sabah yang tersebar meluas dimedia sosial termasuklah insiden yang melibatkan seorang warga Pakistan di Beaufort memberi gambaran bahawa Sabah kini diperintah oleh satu kuasa gelap.
Tiada ketelusan ataupun akauntabiliti tentang tatacara Kerajaan Negeri yang diterajui GRS dalam penggunaan tanah-tanah milik Kerajaan, justeru disinilah wujudnya risiko terhadap komuniti Orang Asal di Sabah untuk diusir dari ‘Tanah Rizab Kerajaan Negeri’ atau ‘Rizab Tepi Sungai’ yang mereka sedang duduki ataupun tanah mereka diambil kononnya untuk tujuan ‘pembangunan’ yang mungkin sebenarnya didalangi oleh ahli politik korup yang bersekongkol dengan broker.
Beberapa orang pemimpin PH Sabah yang dahulunya lantang dalam isu rampasan tanah kini kehilangan suara mereka selepas mereka duduk dengan selesa sebagai Menteri Kabinet, jadi, selaras dengan peranan baharu mereka, Ketua PKR Sabah dan DAP Sabah sepatutnya memberikan penjelasan mengenai isu merobohkan rumah-rumah ini bagi pihak Ketua Menteri.
Dengan berbuat demikian, Menteri Kabinet dari PH Sabah akan diberi markah tambahan kerana lulus dalam ujian ‘tanggungjawab kolektif menteri’ mereka.
Bagi Warisan, saya sekali lagi mengulangi di sini bahawa Bahagian Pensiangan telahpun membentangkan usul semasa Mesyuarat Agung parti tahun lepas (yang mendapat sokongan penuh daripada perwakilan) bahawa apabila membentuk Kerajaan baharu, kita akan dengan segera memulakan siasatan berhubung dengan dakwaan rampasan tanah di seluruh Sabah dan membawa ke muka pengadilan pegawai-pegawai korup yang terlibat dalam perkara ini.
Dan mengikuti jejak Sarawak, Warisan juga akan menubuhkan ‘Jawatankuasa Ombudsmen Negeri’ untuk membolehkan rakyat Sabah terutamanya komuniti Orang Asal menyuarakan ketidak-puasan hati mereka terhadap tindakan pegawai-pegawai yang tidak cekap ataupun korup serta ‘Little Napoleons’ bukan hanya dalam hal berkaitan tanah tetapi juga mengenai mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan.
Keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Kerajaan Persekutuan memulangkan semula tanah seluas 263.67 ekar di Mukim Batu sepanjang Jalan Duta ke Semantan Estate Sdn. Bhd. memberitahu kita bagaimana ketidak-adilan dan pengambilan tanah secara salah oleh Kerajaan boleh terjadi di negeri ini.
Mudi Dubing
Ahli Majlis Tertinggi
Ketua Bahagian Pensiangan
Parti Warisan
14 Ogos 2024