Apakah Persediaan Catuan Air di Penampang oleh GRS/PH?

KOTA KINABALU: Parti Warisan Bahagian Penampang menggesa Ketua Menteri, Hajiji Mohd Noor untuk menyatakan persediaan Kerajaan GRS mengenai pelaksanaan catuan bekalan air di daerah Penampang bermula hari ini (13 Januari) yang akan menjejaskan puluhan ribu penduduk dari sekurang-kurangnya 15 kampung.

Donald Masudal

Timbalan Ketua Unit Pemantauan Daerah (UPD) Warisan Bahagian Penampang, Donald Masudal berkata, isu bekalan air di Penampang menjadi teruk dalam 3 tahun kebelakangan ini namun belum ada tindakan konklusif yang telah diambil oleh GRS untuk menangani isu ini kecuali membuat catuan air.

“Semua orang tahu bahawa Penampang ialah pembekal utama air terawat ke daerah lain di Pantai Barat Sabah maka kita akan memahaminya jika penerima (daerah lain) berdepan dengan catuan air kerana jarak serta umur dan keadaan paip air lama akan menyebabkan tekanan rendah.

Tetapi ianya tidak masuk akal jika Penampang menghadapi catuan air yang berterusan disebabkan oleh tekanan yang rendah sepanjang 3 tahun dan ini secara tidak langsung menggambarkan kegagalan Hajiji untuk menguruskan perkara pembekalan air di negeri ini dengan baik.

Jika Johor yang membekalkan air ke Singapura menghadapi tekanan rendah secara beransur-ansur dalam masa 3 tahun, adakah Johor akan mempertingkatkan lagi catuan airnya? Sudah tentu tidak kerana jika Johor berbuat demikian, ini akan merosakkan ekosistem perniagaan di negeri itu.

Begitu jugalah di daerah ini; warga Penampang terutamanya mereka yang tinggal di pangsapuri dan perumahan Kapayan tidak dapat menahan kemarahan mereka dengan prestasi buruk yang ditunjukkan oleh Hajiji dan GRS/PH jadi mungkin ada baiknya jika dia (Hajiji) dan Menteri Kabinetnya untuk memahami kesukaran orang ramai dengan cuba membawa sebaldi air ke tingkat lima pangsapuri menaiki tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pritchard Gumbaris

Sementara itu, Pritchard Gumbaris yang merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking menanyakan samada wakil dari GRS dan PH yang turut menganggotai Jawatankuasa Bertindak Daerah di Majlis Perbandaran Penampang (PMC) telahpun mengemukakan cadangan mereka untuk mengurangkan impak gangguan bekalan air berikutan dengan catuan air itu.

“Adakah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), PMC dan UPPM dari GRS dan PH telahpun bersedia dengan penghantaran lori-lori tangki air ke kawasan terjejas ini?

Perkara ini penting kerana catuan air dikatakan hanya akan tamat apabila tekanan dikatakan stabil jadi kita tidak tahu sama ada catuan ini bersifat sementara ataupun berselang pada tahun ini tetapi jika tidak ada tindakan afirmatif diambil untuk menangani isu bekalan air di negeri ini, maka kita harus bersedia untuk senario yang terburuk.

Kesiap-siagaan ini amat penting kerana tekanan air yang rendah dikatakan telah menyebabkan beberapa kejadian paip kering di Keningau, Sipitang dan Papar tahun lepas.

Dan apakah rancangan jawatankuasa tersebut untuk mengelakkan kebakaran daripada merebak di kawasan perumahan di mana rumah-rumah dibina berdekatan antara satu sama lain jika catuan air ini akan menyebabkan pili air bomba menghadapi tekanan rendah?

Perkara ini mesti dipandang serius dan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan ini dan wakil-wakil GRS dan PH yang turut sama terlibat dalam jawatankuasa ini sepatutnya menunjukkan kepada warga Penampang komitmen mereka untuk berkhidmat dengan memberikan input-input berguna kepada jawatankuasa dan bukannya melalui media.

Malangnya memandangkan Warisan bukan sebahagian daripada Kerajaan Negeri pada ketika ini, kami tidak terlibat dalam jawatankuasa tindakan ini dan seterusnya tidak dapat mengutarakan agenda pengurusan Penampang yang betul,” katanya.

  • Related Posts

    Sabah Tidak Akan Maju dengan Mentaliti ‘Gaji Tidak Cukup Makan’ — Warisan Seru Kepimpinan Berintegriti, Ada Visi dan Berdisiplin.

    KOTA KINABALU: Parti Warisan hari ini ingin merujuk kepada kenyataan terbaharu oleh Datuk James Ligunjang bertajuk “Sabah’s Remarkable Rise” yang disiarkan dalam JesseltonTimes. James sekali lagi mengulangi alasan lapuk yang…

    Read more

    Sabah Cannot Progress with ‘Gaji Tidak Cukup Makan’ Mentality — We Need Leaders with Integrity, Vision and Discipline.

    PARTI Warisan today would like to refer to the latest statement by Datuk James Ligunjang, titled Sabah’s remarkable rise, JesseltonTimes. James continues parroting the same tired excuses while failing to grasp…

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *