
KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Bahagian Parti Warisan Kimanis, Tailin Mainan hari ini menyatakan kekesalannya dengan kegagalan Kerajaan GRS/PH untuk mengisytiharkan Membakut sebagai kawasan bencana walaupun daerah tersebut teruk dilanda banjir.

Menurut Tailin, antara kampung-kampung di Membakut yang teruk dilanda banjir ataupun terputus hubungan termasuklah Kg. Bambangan, Kg. Paung Maragang, Kg. Poring, Kg. Sinuko, Kg. Gana, Kg. Bawan, Kg. Takapan, Kg. Tandoi, Kg. Brunei, Pimping termasuklah juga Pekan Membakut Lama, Balai Polis dan Klinik Kesihatan.

Timbalan Ketua Bahagian
Parti Warisan
Kimanis
“Di Bongawan, antara kampung yg terkesan ialah Kg. Talantang, Kg. Viging, Kg. Ulu Lumagar, Kg. Ambatuon, Kg. Laut, Kg. Malawaring termasuklah Pekan Bongawan apabila air sungai melimpah naik ke darat.
“Ramai penduduk kampung menyatakan rasa kecewa mereka dengan sikap Kerajaan GRS/PH yang dilihat seperti tidak peduli dengan banjir yang mereka hadapi dan telah menyebabkan kerosakkan harta benda bernilai puluhan ribu ringgit.

Apakah ertinya ada Jawatankuasa Perancang Bandar jika mereka gagal melihat kebaikan dan keburukan perlaksanaan projek-projek di bandar ataupun pekan sehinggakan pekan Membakut Lama kerap kali dilanda banjir disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna?

Kerajaan Negeri sepatutnya mengisytiharkan Parlimen Kimanis sebagai daerah bencana dan mengerahkan aset-aset Kerajaan termasuklah meminta pihak tentera untuk membantu menangani masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Suzeh Oke pula menyatakan bahawa kejadian banjir luar biasa di Membakut ini mungkin disebabkan oleh penerokaan tanah yang telah menyebabkan Sungai Membakut, Sungai Bongawan, Sungai Kimanis dan Sungai Damit menjadi cetek.

Naib Ketua Bahagian
Parti Warisan
Kimanis
“Ramai percaya bahawa tanah (yang dibawa oleh aliran air hujan berikutan dengan penerokaan dan pembersihan tanah untuk tujuan penanaman kelapa sawit di kawasan hulu) telah memasuki sistem perparitan dan sungai-sungai yang ada disini menjadikannya cetek dan mudah melimpah ketika hujan lebat.
Oleh yang demikian, sebarang projek mendalamkan sungai-sungai disini akan menjadi sia-sia selagi Kerajaan tidak memastikan ‘retention pond’ dibina dikawasan yang diteroka dan dibersihkan ini,” jelasnya.
Mantan Ketua Anak Negeri (KAN) Membakut, En. Mohd. Kirin Amit pula mengatakan bahawa ketiadaan penyelenggaraan parit yang berjadual juga telah menyumbang kepada bencana banjir disini.

Mantan KAN Membakut
“Selain daripada itu, aktiviti penimbusan tanah untuk membina bangunan yang giat dijalankan juga sepatutnya seiring dengan pembinaan parit baru ataupun menaiktaraf parit yang sedia ada,” katanya.
Jeffry Fredory yang merupakan pensyarah di ADTEC/ILP Kampus Kota Kinabalu berkata Kerajaan Negeri perlu memantau kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang dikaitkan dengan banjir yang semakin kerap disini.

“Pembetung (culvert) yang dipasang Lebuhraya Pan Borneo disini dikatakan agak kecil dan tidak mampu menampung aliran air keluar menyebabkan takungan air terjadi dan ketika hujan lebat, air akan membanjiri kawasan perkampungan.

Culvert yang ada tidak cukup untuk pengaliran air yang deras.
Oleh yang demikian, mungkin Kerajaan Negeri perlu menyiasat samada perkara ini benar ataupun tidak disamping memantau pembinaan lebuhraya ini sepanjang masa,” jelasnya.
Sementara itu Epi Famio Lee yang merupakan seorang peniaga di Pekan Membakut berkata kebanyakkan penduduk disini berpendapat bahawa adalah lebih baik Kerajaan Negeri meluruskan sungai-sungai disini untuk mengelakkan banjir besar.

“Mereka tidak bermaksud luruskan kesemua sungai disini tetapi ditempat-tempat yang difikirkan berisiko tinggi terutamanya dimana hakisan tanah boleh terjadi dan mendatangkan bahaya kepada rumah-rumah berdekatan dengan sungai.”