
KOTA KINABALU – Sabah sebenarnya telah mencatatkan peningkatan prestasi ekonomi yang baik ketika era pentadbiran Datuk Seri Shafie Apdal, dengan pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan disokong oleh pelaburan yang kukuh. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah serta merancakkan aktiviti hiliran dan pembuatan bagi menambah nilai kepada sumber negeri.

KDNK Per Kapita 2018 Meningkat, Bukti Ekonomi Terus Berkembang
Salah satu indikator utama kejayaan ekonomi Sabah di bawah pentadbiran Shafie adalah peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita untuk tahun 2018. Data menunjukkan KDNK per kapita Sabah meningkat daripada RM24,600 pada tahun 2017 kepada RM25,800 pada tahun 2018. Peningkatan ini membuktikan bahawa ekonomi negeri berkembang secara inklusif dan bukannya mengalami kemerosotan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Fokus kepada Perindustrian dan Hiliran
Shafie telah memberi tumpuan kepada sektor perindustrian dengan memperkukuhkah aktiviti hiliran dalam industri minyak sawit, kayu, petroleum dan pemprosesan makanan. Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan sederhana, berbeza dengan pentadbiran terdahulu yang bergantung kepada eksport bahan komoditi seperti getah asli dan minyak kelapa sawit tanpa nilai tambah.

Pertumbuhan Kukuh dalam Sektor Perkhidmatan dan Pembinaan
Sektor perkhidmatan Sabah berkembang sebanyak 5.3% pada tahun 2019, menyumbang 46.1% kepada KDNK negeri dengan nilai RM39.4 bilion. Selain itu, sektor pembinaan (2019) mencatatkan pertumbuhan 6.1%, dengan sumbangan sebanyak 3.6% kepada KDNK negeri. Perkembangan ini menunjukkan keyakinan terhadap ekonomi Sabah serta peningkatan aktiviti ekonomi di bawah kepimpinan Shafie.
Pelaburan Tertinggi Sabah dalam Suku Pertama 2020
Sabah merekodkan pelaburan tertinggi dalam suku pertama 2020 dengan nilai RM12 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar ekonomi negeri. Pelaburan ini berperanan penting dalam memperkukuh ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Industri Hiliran Semakin Meningkat
Subsektor produk kayu, perabot, dan pengeluaran pulpa menunjukkan peningkatan sebanyak 6.9%, membuktikan kejayaan dasar perindustrian Shafie dalam menambah nilai kepada hasil hutan Sabah. Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan kepada eksport bahan mentah.
Pelan Induk Pertanian Sabah (2020-2030) Perkukuh Ekonomi
Shafie turut memperkenalkan Pelan Induk Pertanian Sabah (2020-2030) bagi menjadikan negeri ini sebagai hab makanan Asia. Pelan ini dijangka meningkatkan hasil pertanian serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dan pemprosesan makanan.
Inisiatif Kurangkan Kadar Pengangguran
Walaupun kadar pengangguran Sabah pada tahun 2019 berada pada 5.8%, ia hampir sama dengan kadar semasa pentadbiran sebelum ini yang kekal sekitar 5% selama 20 tahun. Shafie telah merangka pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran melalui peningkatan pelaburan dalam sektor perindustrian, pertanian, dan pembuatan.
Sabah Terus Stabil Walaupun Berdepan Cabaran Global
Penurunan KDNK Sabah pada tahun 2019 bukan berpunca daripada kelemahan pentadbiran negeri tetapi akibat faktor global seperti perang perdagangan AS-China, kejatuhan harga minyak sawit global, pertikaian antara India dan Malaysia yang menyebabkan India berhenti mengimport minyak sawit mentah dan isu RSPO/MSPO yang memuncak ketika itu.
Negeri-negeri lain seperti Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor turut mencatatkan penurunan KDNK untuk 2019, membuktikan bahawa cabaran ekonomi ini adalah fenomena nasional dan global.
Secara keseluruhannya, Shafie Apdal berjaya membawa Sabah ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil dan lestari melalui pendekatan strategik dalam sektor industri, pelaburan, dan hiliran. Berbanding pentadbiran sebelumnya yang bergantung kepada eksport komoditi, kepimpinan Shafie menekankan nilai tambah dalam ekonomi negeri, meletakkan Sabah di landasan yang lebih mampan untuk masa hadapan.
Izzatul Aini
22 Mac 2025