Wujudkan Sistem Bantuan Kewangan Negeri Untuk Bencana Alam

Saya merujuk kepada mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sabah minggu lalu yang telah membincangkan isu Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir di negeri ini. 

Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Nizam Abu Bakar Titingan, BWI ini tertakluk kepada Arahan 1 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dimana hanya mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) layak mendapat bantuan tersebut.

Saya memahami bahawa Kerajaan Negeri juga memberikan bantuan kepada mangsa banjir yang tidak dipindahkan ke PPS tetapi bantuan yang disalurkan berbentuk bekalan makanan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rasinin Kautis

Saya berpendapat jika kedudukan kewangan Negeri kukuh sepertimana yang kerapkali dikatakan oleh pemimpin-pemimpin GRS, maka Kerajaan Negeri sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk mewujudkan satu sistem bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa banjir Sabah secara keseluruhannya.

Kita telah diberitahu bahawa Kerajaan Negeri bakal mencatat pendapatan sebanyak RM7 billion tahun ini maka tidak ada masalahnya jika Kerajaan GRS memberikan bantuan sekurang-kurangnya RM1,000 sekali dalam setahun untuk mangsa banjir Sabah yang tidak dipindahkan ke PPS tetapi mengalami kerosakan harta benda seperti barangan elektrik dan pakaian harian ke tempat kerja.

Kerajaan Negeri juga perlu bertanggungjawab dengan pengurusan sistem perparitan, pengairan sungai dan aktiviti pembersihan bukit berskala besar yang menyumbang kepada kekerapan episod banjir di negeri ini lebih-lebih lagi apabila Negeri Sabah kini menerima tempias dari perubahan cuaca global yang menyebabkan jumlah hujan yang turun semakin tinggi dan kerap.

Sebagai mantan wakil rakyat DUN Liawan dan Ketua Bahagian Keningau, saya mendapat banyak maklumbalas dari penduduk di kawasan perumahan di Parlimen Keningau yang menyalahkan parit yang tersumbat dan tidak diselenggara sebagai penyebab utama banjir di Keningau baru-baru ini.

Oleh yang demikian, saya menyokong penuh saranan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking yang telah meminta agar Kerajaan Negeri mendedahkan nama-nama syarikat yang mendapat kontrak untuk menyelenggara parit-parit di daerah Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Sepangar.

Untuk perkara ini, saya juga meminta agar Kerajaan Negeri mendedahkan kepada warga Keningau, khususnya yang tinggal dikawasan perumahan, nama-nama syarikat yang diberikan kontrak untuk menyelenggara kawasan mereka masing-masing.

Memandangkan Negeri Sabah ialah penyumbang utama kepada kemampuan Petronas membayar dividen sehingga RM50 billion setahun kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga perlu tegas dan berani dalam soal pemberian bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki infrastruktur yang rosak akibat bencana alam.

Dikala Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan banjir sebanyak RM50 juta kepada Kelantan dan Terrengganu (RM25 juta setiap satu) dan satu lagi bantuan tambahan sebanyak RM50 juta kepada kedua-dua negeri ini (juga RM25 juta setiap satu) pada Disember tahun lalu, ianya amat menyedihkan apabila pemimpin-pemimpin GRS berpuas hati dengan bantuan banjir dari Kerajaan Persekutuan sebanyak RM14 juta sahaja.

Rasinin Kautis
Ketua Bahagian
Parti Warisan Bahagian Keningau
Mantan ADUN Liawan

  • Related Posts

    Belanjawan Sabah 2026: Pendidikan dan Kebajikan Murid Perlu Diberi Perhatian Serius

    Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun pada 12 Disember 2025 memperuntukan sebanyak RM26.06 juta bagi bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis kepada 227,600…

    Read more

    Laporan Suku Tahunan Tidak Akan Membaiki GLC Sabah – Hajiji Mesti Hentikan Pelantikan Kroni dan Kembalikan Kepimpinan Berasaskan Merit

    Daniel John JambunPresiden, Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS)12 Disember 2025 Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS) memandang dengan berhati-hati dan penuh kebimbangan terhadap arahan terbaharu Ketua Menteri Hajiji Noor…

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *