
Pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sabah minggu lalu, ADUN Usukan Salleh Said Keruak telah mengatakan bahawa pengiraan kemiskinan tidak sepatutnya bergantung kepada angka semata-mata tetapi juga mengambil kira realiti sebenar kesusahan rakyat.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau kerana angka dan statistik mengenai kategori miskin tegar boleh dimanipulasi dengan pemberian wang tunai secara berkala dari Kerajaan.
Bantuan wang tunai berkala samada dari Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan kepada rakyat Sabah yang dihimpit kemiskinan sememangnya amat dialu-alukan kerana ini dapat meringankan beban kewangan yang mereka hadapi terutama sekali dikala kelesuan ekonomi serta bencana alam yang tidak putus-putus yang melanda Negeri ini.
Walaubagaimanapun, ianya adalah lebih penting untuk Kerajaan Negeri merangka polisi dan halatuju ekonomi yang efektif untuk membuka peluang pekerjaan dan perniagaan seluas yang mungkin kepada rakyat Sabah khususnya di kawasan Pedalaman dan luar bandar.
Pembukaan peluang pekerjaan dan perniagaan secara meluas ini dengan automatiknya akan mengurangkan insiden kemiskinan di negeri Sabah dan juga akan mengurangkan beban kewangan keatas bantuan wang tunai berkala yang dipikul oleh Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri juga tidak boleh terus menggunakan model lama untuk membanteras kemiskinan yang tidak lagi mampu menyaingi kos sara hidup dan inflasi yang telah meningkat berkali ganda dalam masa 20 tahun ini.
Dalam konteks Kudat dan Kota Marudu, mana-mana program membasmi kemiskinan yang tidak mencapai sasarannya selepas 10 tahun juga harus ditukar dengan program baru yang mampu menarik hati golongan muda untuk menyertainya.
Secara lojiknya, jika program-program yang sudah berjalan selama hampir 10 tahun ini berkesan, maka Kudat dan Kota Marudu tidak akan dikategorikan antara daerah-daerah termiskin di Malaysia.
Penghijrahan berterusan anak-anak muda Kudat dan Kota Marudu ke daerah lain yang lebih maju seperti Kota Kinabalu ataupun ke negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor juga memberikan satu gambaran bahawa tidak ada pelan atau halatuju disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk merancakkan aktiviti ekonomi di kedua-dua daerah ini.
Sebagai kawasan yang berpotensi dimajukan sebagai pusat pertanian nilai tinggi, Kerajaan Negeri juga perlu melabur lebih banyak dalam penyediaan infrastruktur, prasarana dan utiliti di Kudat dan Kota Marudu untuk menarik hati syarikat-syarikat pemprosesan samada dari dalam mahupun luar negeri untuk datang membuka kilang pemprosesan mereka disana.
Kami dari Wira Warisan menyokong dan memberikan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Presiden Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Darell Leiking untuk membangunkan dan merancakkan aktiviti ekonomi di Kudat dan Kota Marudu samada melalui penggubalan polisi Kerajaan, halatuju ekonomi serta program-program bersepadu yang mampu menarik hati golongan muda menyertainya.
Kami juga yakin dengan kemampuan pegawai-pegawai bukan politik yang mempunyai pengalaman luas diperingkat Persekutuan yang kini membantu Presiden dan Timbalan Presiden merangka pelan ekonomi untuk Kudat dan Kota Marudu.
Terence Au
Ketua Wira
Parti Warisan