Warisan : Perjanjian Rahsia GRS Lebih Teruk Dari Kerjasama Politik

Saya merujuk kenyataan Ketua Penerangan GRS, Nizam Abu Bakar Titingan kononnya kerjasama antara Warisan dan Umno bukan perkara baru dan pernah berkerjasama untuk menumbangkan Kerajaan (GRS) yang dipilih oleh rakyat Sabah.

Saya ingin mengingatkan Nizam supaya memperbetulkan faktanya kerana GRS tidak pernah mendapat mandat dari rakyat Sabah pada PRN Sabah ke16 yang lalu. Ketika pilihanraya tersebut, Hajiji, Nizam dan beberapa lagi ADUN PGRS hari ini menang beberapa kerusi kerana bertanding atas tiket Bersatu dan dibantu pula oleh Muhyiddin Yasin.

Dan sehingga pada hari ini, Nizam yang telah meninggalkan Umno untuk menyertai PGRS masih duduk dengan beberapa ADUN Umno yang memegang jawatan Menteri dibarisan hadapan Dewan Undangan Negeri bersama-sama dengan ADUN-ADUN PH Sabah.

Dan jika Nizam mahu berbicara mengenai Langkah Kinabalu, maka dia sebenarnya juga berbicara mengenai ADUN-ADUN PH Sabah yang menandatangani Akuan Bersumpah (Statutory Declaration) menyokong Umno mengambil-alih Kerajaan Negeri pada masa itu seiring dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan PH/BN diperingkat Persekutuan.

Pasca PRN Sabah ke-16 memperlihatkan pembentukkan GRS yang merupakan gabungan parti-parti yang lemah dimana tujuan utama mereka membentuk gabungan ini hanyalah untuk mendapatkan jawatan, gaji dan projek-projek Kerajaan Negeri dan Pusat.

Inilah sebabnya mengapa GRS tidak menunjukkan sebarang ketegasan dan komitmen dalam perkara-perkara yang membebani rakyat Sabah seperti bekalan air, elektrik, infrastruktur, perparitan, banjir, kelesuan ekonomi domestik, pengangguran dan inflasi yang teruk.

Kepimpinan Hajiji yang lemah dimana beliau menyerahkan hampir sepenuhnya pengurusan Kerajaan Negeri kepada pemimpin-pemimpin GRS yang tidak punyai keazaman untuk menyelesaikan kemunduran di negeri ini telah menyebabkan lebih banyak masalah timbul di negeri ini.

Rakyat Sabah yang mengikuti mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sabah yang disiarkan secara langsung sudah pastinya akan dapat melihat sikap sambil lewa dan ketidakpedulian pemimpin-pemimpin GRS yang dilantik oleh Hajiji Noor untuk membentuk barisan Menteri Kabinetnya terhadap isu-isu di negeri ini.

Inikah kejayaan GRS yang Nizam katakan itu? Jika barisan Kabinet Menteri GRS sendiri pun tidak menunjukkan kecekapan dan sikap serius untuk mengatasi masalah-masalah di negeri ini, bagaimanakah rakyat Sabah akan percaya dengan kata-katanya dan Hajiji?

Dan pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin GRS pula telah membuat pelbagai ‘perjanjian dan kerjasama’ rahsia yang melibatkan hasil bumi negeri ini serta masa depan rakyat Sabah dan kita hanya akan mengetahui perkara seumpama ini selepas ianya dibocorkan samada melalui media konvensional ataupun sosial.

Mengapakah perkara-perkara seperti Nature Conservation Agreement (NCA), pasir silika di Balambangan, pemberian 70,000 hektar tanah kepada Bumi Suria Sdn. Bhd. dan pemberian konsesi SFI kepada syarikat-syarikat dari Semenanjung yang membabitkan  kebajikan dan masa depan rakyat Sabah dibuat secara rahsia?

Saya ulangi disini bahawa tidak ada sebarang perjanjian mahupun kerjasama rahsia antara Warisan dan Umno pada PRN ke 17 yang akan datang ini sepertimana yang didakwa oleh Nizam dan Warisan kekal solo bertanding di kesemua 7 3 kerusi. Warisan konsisten dengan prinsipnya untuk menegakkan maruah Sabah dan ini dibuktikan semasa Langkah Sheraton pada tahun 2020 dan seterusnya pada PRU2022 yang lalu.

Dan saya berpendapat, perjanjian ataupun kerjasama rahsia yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin GRS dengan pihak luar yang melibatkan simpanan hasil bumi negeri dan masa depan Orang Asal Sabah adalah jauh lebih serius berbanding dakwaan Nizam itu.

Dan jika rakyat Sabah memberi mandat kepada GRS untuk membentuk Kerajaan Sabah sekali lagi, maka sudah pastinya kita akan melihat lebih banyak ‘perjanjian dan kerjasama’ rahsia antara GRS dan pihak-pihak yang dicurigai kredibilitinya.

Datuk Loretto Padua Jr.

Setiausaha Agung

Parti Warisan

  • Related Posts

    Sabah Tidak Akan Maju dengan Mentaliti ‘Gaji Tidak Cukup Makan’ — Warisan Seru Kepimpinan Berintegriti, Ada Visi dan Berdisiplin.

    KOTA KINABALU: Parti Warisan hari ini ingin merujuk kepada kenyataan terbaharu oleh Datuk James Ligunjang bertajuk “Sabah’s Remarkable Rise” yang disiarkan dalam JesseltonTimes. James sekali lagi mengulangi alasan lapuk yang…

    Read more

    Sabah Cannot Progress with ‘Gaji Tidak Cukup Makan’ Mentality — We Need Leaders with Integrity, Vision and Discipline.

    PARTI Warisan today would like to refer to the latest statement by Datuk James Ligunjang, titled Sabah’s remarkable rise, JesseltonTimes. James continues parroting the same tired excuses while failing to grasp…

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *