
Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman berkata kegagalan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2023 yang terpaksa ditarik balik dari Parlimen adalah bukti jelas kelemahan Armizan Mohd Ali ketika menjadi Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas. Menurutnya, seorang menteri yang benar-benar memahami tanggungjawab terhadap negeri tidak sepatutnya membiarkan RUU penting seperti itu dibentang tanpa rundingan dengan kerajaan Sabah dan Sarawak.
Azis menjelaskan bahawa RUU tersebut, yang kononnya digambarkan sebagai pencapaian MA63 oleh GRS–PH, sebenarnya gagal kerana kecuaian dan kelemahan dalam proses pentadbiran di peringkat kementerian. Akibatnya, buat pertama kali dalam sejarah, Kementerian Kewangan terpaksa menarik balik RUU yang telah dibentangkan di Parlimen sebelum diperbetulkan semula dan diluluskan beberapa bulan kemudian.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Armizan tahu tentang kewujudan RUU itu sebelum dibentangkan, sama ada beliau memberi pandangan semasa peringkat kabinet, dan sama ada beliau bersetuju dengan kandungan asalnya. Azis menegaskan, persoalan ini penting kerana ia menentukan sama ada Armizan benar-benar berfungsi sebagai wakil Sabah dalam kabinet atau sekadar berdiam diri ketika hak negeri dipinggirkan.