Kerajaan Sabah Perlu Bersedia Dengan Fenomena La Nina

Saya menyeru Kerajaan Sabah untuk bersiap sedia dengan kemungkinan fenomena La Nina yang dijangka akan terjadi di Sabah pada separuh kedua tahun ini.

Kita kini beralih dari kemarau panjang yang disebabkan oleh El Nino pada pertengahan tahun lalu dan memuncak awal tahun ini ke La Nina dan Pertubuhan Meteorologi Sedunia meramalkan bahawa 70% kemungkinan fenomena ini akan berlaku pada Ogos – November 2024.

Kita menjangkakan jumlah air hujan yang turun adalah lebih lebat ketika tempoh ini dan jika Kerajaan Sabah tidak bersedia, maka kita mungkin akan melihat banjir terjadi di seluruh negeri yang bakal mengganggu ekonomi dengan ribuan keluarga kehilangan tempat tinggal serta kerosakan terhadap infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan gantung.

Oleh yang demikian, Kerajaan Sabah perlu bersedia untuk mengurangkan impak fenomena ini dengan terlebih dahulu memastikan sistem perparitan tidak tersumbat dan kontraktor Lebuhraya Pan Borneo mematuhi amalan pembinaan yang betul.

Kerajaan juga mesti berusaha untuk meminta bantuan dari Tentera Darat, RELA dan Pertahanan Awam (JPAM) untuk kerja-kerja pembersihan disamping memastikan jengkaut dan lori bersedia untuk pembersihan terompah kerana air yang bertakung ialah tempat yang sesuai untuk nyamuk Aedes membiak.

Menteri-menteri Kabinet Sabah juga mesti memastikan rakyat Sabah kita menerima nilai bantuan yang sama sepertimana yang diterima oleh rakan kita di Semenanjung. Ianya ialah satu diskriminasi terang-terangan apabila mereka (rakyat Semenanjung) boleh menikmati bantuan banjir sehingga RM61,000 sedangkan rakyat Sabah hanya layak menerima sejumlah kecil sahaja yakni RM1,000.

Walaupun bantuan dari segi penghantaran makanan dan air oleh individu, parti politik, Persatuan dan Perbadanan dan NGO yang prihatin adalah terpuji dan dihargai, kita perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab kepada Kerajaan Sabah untuk melaksanakan penyelesaian jangka pendek dan panjang dalam menangani ancaman banjir di Sabah.

Kerajaan Sabah perlu memastikan semua projek tebatan banjir yang diluluskan di negeri ini terutamanya berkaitan pelebaran dan pendalaman sungai dilaksanakan dan pada masa yang sama, menaiktaraf sistem perparitan yang sedia ada dan mereplikasi ‘lagun Likas’ yang praktikal dengan mewujudkan lebih banyak lagi kolam tadahan dengan pintu banjir (untuk mengelakkan air pasang daripada masuk semasa hujan lebat) di kawasan lain yang selalu dilanda banjir

Banjir juga memberi kesan kepada Industri Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) kita dan saya bersimpati dengan MSME di Sabah yang menghadapi cabaran yang tidak berkesudahan seperti bekalan elektrik/air yang tidak teratur, infrastruktur yang menyedihkan, kos menjalankan perniagaan yang tinggi dan sekarang banjir yang menyebabkan kerosakan atau hilang kepada peralatan dan stok.

Kita perlu mempunyai ekonomi Sabah dan MSME yang kukuh kerana kedua-duanya diperlukan untuk membasmi kemiskinan di Sabah terutamanya melalui penjanaan pekerjaan justeru kami di Wanita Warisan percaya bahawa kita mesti mencari jalan penyelesaian kepada apa jua masalah (termasuk ancaman banjir) yang dihadapi oleh MSME kita.

Puan Juriah Uda
Ketua Wanita Warisan Bahagian Putatan
15 Julai 2024

Ruj :
https://wmo.int/news/media-centre/el-nino-forecast-swing-la-nina-later-year

https://www.reuters.com/business/environment/la-nina-weather-65-likely-develop-july-sept-says-us-forecaster-2024-06-13

  • Related Posts

    Belanjawan Sabah 2026: Pendidikan dan Kebajikan Murid Perlu Diberi Perhatian Serius

    Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun pada 12 Disember 2025 memperuntukan sebanyak RM26.06 juta bagi bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis kepada 227,600…

    Read more

    Laporan Suku Tahunan Tidak Akan Membaiki GLC Sabah – Hajiji Mesti Hentikan Pelantikan Kroni dan Kembalikan Kepimpinan Berasaskan Merit

    Daniel John JambunPresiden, Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS)12 Disember 2025 Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS) memandang dengan berhati-hati dan penuh kebimbangan terhadap arahan terbaharu Ketua Menteri Hajiji Noor…

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *