
Ketidakpatuhan terhadap tarikh akhir 18 Julai oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menyelesaikan isu hak Sabah keatas 2/5 (40%) hasil cukai yang dikutip di bawah Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mengecewakan semua.

Kini timbul persoalan jika ketidakpatuhan ini sengaja dilakukan dengan niat untuk menangguhkan proses perlaksanaan pembayaran 2/5 ini ataupun kerana kelemahan pihak yang membuat tuntutan itu sendiri disebabkan oleh isu kredibiliti.
Apa jenis persoalan pun, penyelesaian mesti dicapai tanpa mengira ideologi politik dari kedua-dua belah pihak, sepertimana rakyat Sabah dikehendaki untuk membayar bil air tepat pada masanya ataupun menghadapi risiko bekalan air diputuskan.
Pendedahan Datuk Yap Pak Leong (dalam satu ceramah yang dianjurkan oleh SABAR pada 13 Julai lalu) bahawa hak ke atas kutipan cukai itu ialah salah satu sebab utama mengapa Sabah bersetuju untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Malaya, Singapura dan Sarawak mencerminkan kepentingannya bersama-sama dengan MA63 dan dokumen-dokumen terdahulu yang lain yang menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.

Parti politik dan ahli politik akan datang dan pergi dan jika orang Melayu mempunyai Sultan mereka sendiri sebagai ‘penjaga’ kepada kesejahteraan dan kepentingan mereka, maka dalam konteks yang sama, kita rakyat Sabah mempunyai dokumen-dokumen bertulis ini dan pengaturan lain yang dipersetujui dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai ‘penjaga’ kita. Oleh yang demikian, proses pelaksanaan amat diperlukan dan sepatutnya, tidak ada lagi penangguhan mengenai perkara ini!
Warisan melihat MA63 dan semua pengaturan lain yang dipersetujui sebagai ‘Sultan’ untuk kita rakyat Sabah maka oleh yang demikian, parti ini hanya mengambil masa 17 bulan untuk mengembalikan MA63 ke ‘takhtanya’ dengan menyelesaikan 17 daripada 21 Isu MA63 dan sekiranya Sheraton Move tidak berlaku, maka sudah pastinya semua isu telahpun diselesaikan secara tuntas pada hari ini.

Tetapi kesungguhan yang sama tidak dapat dilihat pada Kerajaan Negeri dan Persekutuan hari ini dimana kita disajikan dengan pelbagai karenah tolak-menolak, salah-menyalahkan serta drama tetapi pada akhirnya, tidak ada apa-apa penyelesaian konklusif dicapai selepas lebih 4 tahun walaupun pada hakikatnya, Kerajaan Negeri Sabah juga diwakili dalam Majlis Tindakan Perlaksanaan MA63 (MTPMA63) melalui penyertaan beberapa orang Menteri Kabinet Negeri ini.
Ketidak-patuhan dan kelewatan yang tidak munasabah selama 4 tahun ini kini memerlukan penubuhan satu badan khas untuk memantau kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri termasuk MTPMA63 untuk mengelakkan sebarang gangguan atau potensi penyelewengan dari niat dan semangat asal MA63 serta pengaturan lain yang telah dipersetujui sepertimana yang diperkatakan oleh Datuk Yap.
Justeru saya menyeru penubuhan satu ‘Special Select Committee’ mengenai MA63 di Parlimen yang akan disertai oleh kedua-dua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang dari Sabah dan Sarawak untuk memantau dan memastikan pelaksanaan MA63 dan apa-apa pengaturan yang dipersetujui bebas daripada sebarang manipulasi politik yang akhirnya akan menghakis hak dan kepentingan Sabah terutamanya dari segi daripada pengaturan kewangan khas.
Parlimen pada masa ini telahpun mempunyai 10 ‘Special Select Committee’ yang memantau beberapa isu dan agenda khusus yang dianggap sebagai satu keutamaan untuk negara dan jelas sekali, MA63 dan semua pengaturan lain yang dipersetujui ialah satu keutamaan memandangkan ini ialah sebab mengapa kita mempunyai Persekutuan Malaysia hari ini.
Chin Tek Ming
Peguam untuk Parti Warisan
19 Julai 2024
Percayalah. Sampai bila bila pun, sabah tia akan dapat pembyaran penuh tue.