
Pengesahan oleh Kementerian Kewangan Persekutuan dalam jawapan Parlimennya bertarikh 18 Julai 2024 bahawa tidak ada persetujuan yang telah dicapai di antara Kerajaan Negeri pimpinan Warisan dan Kerajaan Persekutuan pimpinan PH pada 2019 mengenai Pemberian Khas untuk Sabah menamatkan segala dakwaan yang dibuat oleh GRS dan Timbalan Setiausaha Agungnya, Armizan Mohd Ali bahawa Warisan gagal mendapatkan urus-janji yang lebih baik untuk Sabah.

Ini sememangnya satu kemenangan kepada Warisan di mana pemimpin-pemimpin parti ini telahpun berulang-kali menegaskan bahawa walaupun Kerajaan Negeri pada masa itu telah bersetuju untuk menerima pemberian khas RM53 juta mulai 2020 (setelah mengambil kira permohonan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Persekutuan pada ketika itu, Lim Guan Eng mengenai keadaan kewangan negara) dengan kenaikan dalam tempoh 5 tahun, pembayaran yang dipersetujui tersebut tidak menggantikan hak 2/5 Sabah keatas cukai yang dikutip tetapi hanya sebagai bayaran pendahuluan sementara perbincangan diteruskan.

Perkataan ‘Tanpa Prejudis’ dalam surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Negeri bertarikh 19 Oktober 2019 juga memberitahu kita bahawa Kerajaan Negeri ketika itu bersetuju menerima bayaran pendahuluan tersebut dengan syarat bahawa pembayaran tersebut tidak akan memberi sebarang kesan atau menyebabkan kerugian dipihak Sabah terhadap hak atau tuntutan 2/5 tersebut.
Surat tersebut juga telah mengesahkan bahawa mesyuarat Kabinet Negeri telah diadakan pada 16 Oktober 2019 untuk membincangkan tawaran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan Persekutuan justeru secara konvensyennya, ‘tanggungjawab bersama’ menyatakan bahawa semua Menteri Kabinet yang menghadiri mesyuarat tersebut sama-sama memikul tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat pada hari tersebut. Jadi pengamal media mungkin boleh menemu-bual individu-individu seperti Wilfred Madius Tangau, Christina Liew, Ewon Benedick, Dr Yusof Yaacob serta lain-lain yang pernah menjadi Menteri Kabinet Negeri pada 2018-2020 mengenai perkara ini.
Apa yang lebih penting ialah, ketiadaan Warta Diraja mengenai bayaran pendahuluan yang dipersetujui juga mencerminkan pendekatan berhati-hati dan penuh perhatian oleh Shafie Apdal terhadap perkara ini. Warta sedemikian sememangnya perlu untuk tujuan Belanjawan Persekutuan tahunan dan oleh yang demikian, Armizan boleh mendakwa bahawa warta tersebut tidak pernah dikeluarkan kerana Covid 19 namun hakikatnya, tiada Warta dikeluarkan selama hampir setahun iaitu dari 19 Oktober 2019 hingga 26 September 2020 (ketika Pilihan Raya Negeri diadakan).
Tetapi yang menariknya ialah mukadimah kedua Warta Diraja bertarikh 20 April 2022 dan telah dipersetujui oleh Hajiji Mohd Noor menyatakan bahawa kajian semula terhadap Pemberian Khas telah diadakan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada 14 Februari 2022. Ini memberi gambaran bahawa pengaturan baharu untuk menggantikan Perintah Pemberian Khas Sabah (Semakan Pertama), 1970 [P.U. (A) 328/1970] telah dibincangkan, dipersetujui dan dipersetujui untuk menjadi undang-undang dalam masa kurang daripada 70 hari.
Saya percaya bahawa, walaupun kejahilan GRS sendiri mengenai MA63 dan isu hak keatas 2/5 cukai yang dikutip ini telah menyebabkan Hajiji membuat kesilapan dengan mempersetujui pengaturan baru itu, Kerajaan Persekutuan pimpinan PN pada masa itu juga mungkin telah menyedari kelebihan yang dimiliki oleh Sabah apabila Shafie Apdal enggan membenarkan warta diraja dikeluarkan. Oleh itu, saya tidak akan berasa hairan jika Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PN pada ketika itu mendesak supaya penyusunan perjanjian baru (dengan warta akhirnya dikeluarkan) dalam masa yang singkat.
Dan jangan kita lupa, untuk Warta yang pertama, Hajiji Mohd Noor pada masa itu berkhidmat dengan Muhyiddin Yasin yang merupakan Perdana Menteri dan Presiden PPBM manakala untuk Warta kedua, beliau (Hajiji) baru sahaja meninggalkan PPBM dan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Ianya sungguh menyedihkan apabila disebalik komitmen Warisan untuk membina semula negara di bawah Malaysia Baharu pada 2018 melalui pelbagai konsesi kepada Kerajaan Persekutuan, ramai pihak termasuklah bekas rakan sekutu kita yang ironisnya pernah duduk bersama-sama membincangkan halatuju baru Negeri dan Negara kini mengecam parti ini.
Ini bagaimanapun tidak akan menghalang kami untuk meneruskan perjuangan kami untuk Sabah kerana kami berbangga berada dalam parti yang mengutamakan perkhidmatan, komitmen dan kredibiliti.
Chin Tek Ming
Peguamcara Parti Warisan
21 Julai 2024