Sistem Pengurusan Daerah Perlu Distruktur Semula

Parti Warisan telah melancarkan program jangkauannya (outreach) pada Mei 2025 untuk mengetahui aspirasi dan permasalahan rakyat Sabah di kawasan luar bandar dan Pedalaman.

Program ini dilaksanakan oleh Unit Outreach Warisan di bawah seliaan Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking dan dibantu oleh beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi (AMT) termasuk saya sendiri sebagai Pengerusinya.

Salah satu tujuan utama program ini diadakan ialah untuk memberi peluang kepada penduduk kampung memberikan maklumbalas mereka mengenai keadaan DUN masing-masing kepada kepimpinan tertinggi parti secara terus dan tanpa birokrasi yang remeh.

Setakat ini, 12 siri berjaya dilaksanakan di Ranau, Sipitang, Kimanis, Putatan, Keningau serta Beluran membabitkan hampir 1,000 penduduk kampung yang rata-ratanya teruja dengan peluang yang diberikan untuk menyatakan permasalahan dan harapan mereka.

Sepanjang perlaksanaan program ini, kami mendapati bahawa salah satu sebab mengapa kawasan luar bandar berada dalam serba kekurangan dan ketinggalan dari segala aspek ialah kerana ketidakcekapan dalam sistem pengurusan daerah.

Kami difahamkan bahawa ramai pemimpin akar-umbi seperti UPPM dan JKKK terpaksa menunggu berbulan dan kadangkala, bertahun lamanya untuk projek-projek kampung yang diperlukan dilaksanakan oleh Pejabat / Majlis Daerah ataupun Jabatan Kerajaan Negeri dan apa yang mengejutkan ialah perkara ini juga terjadi dikawasan DUN diwakili oleh pemimpin GRS yang memegang jawatan Menteri penuh.

Kehadiran ‘Little Napoleon’ di pejabat pihak berkuasa tempatan, jabatan serta agensi Kerajaan Negeri yang dikatakan tidak mempedulikan kebajikan penduduk kampung juga merupakan antara aduan yang telah kami terima.

Kami juga mendapati bahawa tidak ada sebarang pelan konkrit pembangunan ekonomi jangka pendek dan panjang untuk menaikkan taraf hidup penduduk kampung di kawasan luar bandar dan Pedalaman Sabah melainkan pemberian wang ehsan agar mereka tidak disenaraikan sebagai ‘miskin tegar’.

Inilah salah satu sebabnya mengapa walaupun data merekodkan penurunan insiden kemiskinan tegar di Sabah, realitinya pendapatan sebenar, taraf kehidupan dan keadaan persekitaran mereka masih sama seperti 10 tahun yang lalu.

Ini juga memberikan gambaran bahawa barisan Kabinet Menteri GRS yang diketuai oleh Hajiji Noor tidak berminat untuk memastikan sistem pengurusan daerah berada dalam tahap yang terbaik ataupun merealisasikan pembangunan ekonomi jangka pendek dan panjang di kawasan luar bandar dan Pedalaman untuk manfaat penduduk kampung.

Oleh yang demikian, kami akan mengutarakan dua usul berikut dalam manifesto pilihanraya parti iaitu (1). penstrukturan semula sistem pengurusan daerah dan (2). penubuhan Ombudsmen Negeri untuk memastikan salahguna kuasa dan ketidakcekapan di peringkat daerah diatasi.

Kami juga menghargai sokongan dan maklumbalas dari pemimpin akar umbi seperti Pengerusi-pengerusi JKKK lantikan GRS sendiri yang sudah muak kerana terpaksa berdepan dengan sindiran dan cemuhan dari penduduk kampung disebabkan oleh ketidakcekapan GRS ini. Ianya amat mendukacitakan apabila mereka (JKKK lantikan GRS) yang sebenarnya jujur mahu berkhidmat kepada kampung masing-masing terpaksa memikul beban hanya kerana ketidak-mampuan Hajiji Noor dan barisan Kabinet Menterinya untuk menguruskan negeri ini dengan baik.

Dan sekiranya Warisan mendapat mandat dari rakyat Sabah sekali lagi untuk mentadbir negeri ini, program outreach ini akan diteruskan agar penduduk kampung mempunyai akses terbuka untuk memberikan maklumbalas mengenai prestasi ADUN-ADUN Warisan kelak.

Datuk Loretto Padua Jr.
Setiausaha Agung
Parti Warisan

  • Related Posts

    Belanjawan Sabah 2026: Pendidikan dan Kebajikan Murid Perlu Diberi Perhatian Serius

    Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun pada 12 Disember 2025 memperuntukan sebanyak RM26.06 juta bagi bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis kepada 227,600…

    Read more

    Laporan Suku Tahunan Tidak Akan Membaiki GLC Sabah – Hajiji Mesti Hentikan Pelantikan Kroni dan Kembalikan Kepimpinan Berasaskan Merit

    Daniel John JambunPresiden, Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS)12 Disember 2025 Change Advocate Movement of Sabah (CAMOS) memandang dengan berhati-hati dan penuh kebimbangan terhadap arahan terbaharu Ketua Menteri Hajiji Noor…

    Read more

    One thought on “Sistem Pengurusan Daerah Perlu Distruktur Semula

    1. Kenyataan Joniston Bangkuai memang patut dipersoalkan. Adakah benar pentadbiran Hajiji Noor membawa kejayaan luar biasa kepada Sabah? Atau sekadar menumpang hasil perjuangan Datuk Seri Shafie Apdal? Peningkatan hasil negeri nyata adalah kerja keras Shafie dalam melaksanakan cukai jualan petroleum, bukan usaha GRS. Jika Hajiji begitu hebat, mengapa masalah asas seperti bekalan air dan jalan raya masih tidak diselesaikan? Projek Pan Borneo terbengkalai, sistem perparitan usang, tetapi tiada tindakan jangka panjang. Apa yang dimaksudkan dengan kejayaan luar biasa ini? Apakah peruntukan RM4 juta ke ADUN benar-benar sampai kepada rakyat? Rumah SMJ hanya 120 unit, sedangkan ribuan keluarga masih hidup dalam keadaan daif. Kenapa isu 40% hasil Sabah masih gagal dituntut? GRS perlu lebih berani seperti GPS di Sarawak. Kami telah menggunakan libersave dalam sistem kupon wilayah kami. Ia hebat kerana mudah digunakan untuk menggabungkan pelbagai penyedia dalam satu platform.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *