
KOTA KINABALU: Parti Warisan menyuarakan kebimbangannya mengenai keputusan dua pengeluar beras terbesar Asia iaitu Vietnam dan India untuk menghadkan eksport beras mereka yang mungkin akan menyebabkan kenaikan harga beras di Sabah secara berperingkat dalam jangkamasa dua tahun ini.

Menurut Ahli Parlimen Kota Belud parti itu, Isnaraissah Munirah Majilis, Kerajaan Negeri perlu memberi keutamaan sepenuhnya kepada agenda tahap sara diri beras (SSL) Sabah yang kini berada di antara 21-23% dan mencapai sasaran 70% menjelang 2025 bagi mengurangkan kebergantungan beras import dari negeri atau negara lain.
“Pada 15 Jun 2023, saya telah mengajukan soalan di Dewan Rakyat mengenai implikasi keputusan negara Vietnam untuk mengurangkan eksport beras mereka dan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan beliau telah mengatakan bahawa bekalan beras tidak akan terjejas kerana Malaysia masih akan mengimport beras dari India, Thailand, Pakistan dan negara Asia yang lain.
Tetapi pada bulan ini, India pula sekarang memutuskan untuk mengurangkan eksport beras mereka juga dan kebimbangan Warisan ialah, dengan perubahan iklim yang menyebabkan episod kemarau teruk dan banjir besar yang silih berganti di rantau Asia, hasil tuaian padi mungkin akan terjejas dan berkemungkinan akan menyebabkan negara-negara pengeksport beras tradisional Asia yang lain turut sama mengurangkan eksport beras mereka.
Warisan percaya bahawa jika bekalan beras dalam negara kekal pada kadar 70% (tempatan)/30% (import) dan pada masa yang sama, beras import mencatatkan trend kenaikan harga, maka jutaan rakyat Malaysia akan mula beralih kepada beras tempatan (70%) yang lebih murah dan ini sudah pastinya akan melonjakkan harga beras di Sabah melalui mekanisma penawaran/permintaan.
Dua hari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan Indeks Harga Pengguna bulanannya bagi Jun 2023 dan menyatakan bahawa harga purata beras di Sabah ialah RM29.73 (10kg SST 5%) dan jika tiada tindakan konkrit diambil ke atas agenda SSL beras Sabah, maka jangan terkejut jika harga beras akan melonjak kepada RM35.00 atau lebih dalam masa satu atau dua tahun ini,” katanya.
“Dan kumpulan yang bakal terjejas ialah pesara, ibu tunggal, mereka tanpa pendapatan tetap dan kumpulan berpendapatan sederhana/rendah yang tinggal di bandar dan kawasan bandar yang sudahpun dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi,” keluhnya.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking pula menyatakan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan GRS perlu memberi fokus kepada isu-isu asas di Negeri ini dan bukannya membuat satu cadangan atau pengumuman kepada yang lain sebagai usaha gabungan itu untuk mengalihkan perhatian rakyat Sabah mengenai pentadbiran GRS yang bercelaru.
“Tiga tahun berkuasa dan tiada fokus ditunjukkan untuk menyelesaikan isu kos sara hidup yang tinggi, PTI/peniaga asing, sekolah/klinik kesihatan yang usang di luar bandar, jalan raya dan infrastruktur, bekalan air dan elektrik, rangkaian internet dan kini kita bakal berdepan dengan isu jaminan makanan pula – tetapi apa yang kita nampak dan dengar pula ialah cadangan-cadangan untuk memindahkan KKIA dan membuka dua taman perindustrian baharu.
Bagaimanakah pelabur asing dan domestik akan datang melabur dinegeri ini jika pemboleh-pelaburan negeri kita adalah antara yang terburuk di negara ini? Dan usaha untuk mewujudkan ‘kesan plasebo pembangunan’ bahawa Sabah bergerak maju ke hadapan dengan membuat satu cadangan (atau pengumuman) kepada yang lain tidak bererti kerana rakyat Sabah dibebani dengan pelbagai masalah setiap hari.
Dan pertimbangkan Sarawak – walaupun tahap SSL berasnya telahpun mencapai kadar 51%, negeri itu masih berusaha keras untuk mencapai sasaran 60%, yakni tahap selesa. Dan saya percaya, apabila Sarawak sudah jauh melepasi sasaran itu (60%), negeri tersebut boleh memilih sama ada mahu menjual lebihan (beras) mereka kepada Sabah ataupun tidak,” jelasnya.
“Sebab itulah apabila Warisan mengambil-alih kerajaan negeri pada 2018, agenda utama kita pada ketika itu adalah untuk mengukuhkan asas sosioekonomi dan mendapatkan semula kawalan terhadap pemboleh-pelaburan negeri ini, justeru kita telah menubuhkan Kementerian Pendidikan Negeri, Kementerian Kesihatan Negeri, mendapatkan semula kawalan gas dan SESB, menjamin bekalan makanan melalui Rangka Tindakan Pertanian Negeri, pembahagian tanah kepada Orang Asal dan sebagainya.
Pentadbiran Warisan selama 22 bulan telah membuktikan bahawa, dengan kepimpinan yang tegas serta pentadbiran bebas rasuah, kita boleh mengawal halatuju sosioekonomi kita sendiri. Ini bukan omongan kosong kerana ada beberapa bekas YB dan pemimpin akar umbi WarisanPlus yang kini berada di GRS yang boleh mengesahkan perkara ini kerana mereka sendiri telah diberi peluang untuk melaksanakan agenda ini,” akhirinya.