Kerajaan Madani Senyap Mengenai Hak Sabah Ke Atas 2/5 Cukai Yang Dikutip.

Ketiadaan sebarang maklumbalas dari Kerajaan Madani mengenai hak Sabah ke atas 2/5 (40%) cukai yang dikutip menjelang pengakhiran Julai mengecewakan ramai pihak memandangkan sudah hampir setahun jaminan penyelesaian isu ini dimaklumkan kepada umum oleh Presiden Upko, Ewon Benedick dan dipaparkan oleh akhbar harian negeri pada 10 September 2023.

Ewon juga secara khusus menyatakan keperluan penyelesaian ini mempunyai garis masanya dan ini telahpun dipersetujui oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof dimana ianya merupakan tanggungjawab beliau (Ewon) untuk memastikan garis masa tersebut dipatuhi.

Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Kitingan telah menyatakan kekecewaannya apabila tiada jawapan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan pada tarikh akhir 18 Julai mengenai perkara ini dan Chin Tek Ming yang merupakan peguamcara untuk Warisan seterusnya telah mencadangkan penubuhan satu ‘Parliament Special Select Committee’ (PSC) untuk memantau kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam perkara yang berkaitan dengan MA63 dan isu kelayakan 2/5.

Mudi Dubing

Kerajaan Madani sepatutnya menunjukkan komitmennya terhadap isu 2/5 (40%) ini dengan menyelesaikannya lebih awal dan bukannya menunggu sehingga tarikh akhir tiba. Sekiranya Kerajaan Madani berpendapat penyelesaian tidak dapat dibuat menjelang tarikh akhir, maka mereka yang telah memberi jaminan untuk memastikan garis masa dipatuhi (dalam kes ini ialah Ewon) sepatutnya memaklumkan kepada rakyat Sabah jika lanjutan diperlukan berserta alasannya dan bukannya berdiam diri. Ketiadaan profesionalisme dan fokus beliau dalam hal ini sememangnya amat dikesali.

Ianya juga meloyakan apabila melihat PKR Sabah terus bercakap mengenai kerusi pilihan raya dan bukannya berjuang untuk mendapatkan kembali hak dan kepentingan Sabah lebih-lebih lagi apabila, saya percaya, PKR ialah satu-satunya parti komponen dalam Pakatan Harapan yang telah memasukkan agenda MA63 ke dalam perlembagaan parti tersebut. Ianya adalah perkara yang sia-sia jika MA63 dimasukkan kedalam perlembagaan parti PKR jika pemimpin PKR Negeri sendiri tidak memahami ataupun menerapkan semangat dan hasrat MA63 dalam kehidupan politik mereka. Jesteru saya menasihatkan agar lebih baik mereka mengeluarkan agenda MA63 dari perlembagaan parti mereka.

Sabah amat memerlukan hak 2/5 (40%) kerana inilah penggalak yang akan membolehkan kita mengatasi Sarawak dari segi pembangunan dengan pertama sekali menaik-taraf dan meningkatkan infrastruktur, utiliti, sekolah dan penjagaan kesihatan negeri kita dan kedua, dengan menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk menarik perhatian asing dan pelabur domestik datang ke sini.

Walaupun Kerajaan Madani mungkin akan mengeluarkan keputusannya pada bulan depan, tidak ada jaminan bahawa pembayaran yang ditunggu-tunggu selama ini akan dibuat tahun ini. Saya pasti karenah birokrasi akan merayap untuk menangguhkan pembayaran ini dan saya juga yakin Kerajaan Negeri pimpinan GRS akan bersetuju dengan perkara ini benar terutamanya yang berkaitan dengan dana Persekutuan. Oleh itu, penubuhan PSC seperti yang dicadangkan oleh Chin harus dipertimbangkan dan mungkin GRS boleh mengemukakan cadangan ini untuk dibahaskan dan diluluskan pada mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang akan datang.

MUDI DUBING
KETUA BAHAGIAN WARISAN PENSIANGAN
24 JULAI 2024

  • Related Posts

    GRS’ “Economic Success” Claim Is Built on Propaganda and Half-Truths — Warisan’s Record Speaks for Itself

    Kota Kinabalu — The attempt by Datuk John Ambrose to paint the Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-PH government as an “economic success story” compared to the Warisan administration is a textbook…

    Read more

    Sabah Tidak Akan Maju dengan Mentaliti ‘Gaji Tidak Cukup Makan’ — Warisan Seru Kepimpinan Berintegriti, Ada Visi dan Berdisiplin.

    KOTA KINABALU: Parti Warisan hari ini ingin merujuk kepada kenyataan terbaharu oleh Datuk James Ligunjang bertajuk “Sabah’s Remarkable Rise” yang disiarkan dalam JesseltonTimes. James sekali lagi mengulangi alasan lapuk yang…

    Read more

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *