‘Skandal Kickback’ yang membabitkan beberapa ADUN GRS memerlukan satu rombakan dalam sistem pentadbiran Negeri melalui kerangka pelan tindakan baharu yang memfokuskan ketelusan dan akauntabiliti.
Isu bekalan air dan elektrik negeri serta keadaan jalan raya kita yang menyedihkan adalah berpunca daripada budaya rasuah yang telah menyebabkan Sabah menjadi negeri yang termiskin di Malaysia.
Oleh yang demikian, rasuah sebenarnya ialah satu perkara yang sensitif bagi orang Sabah terutamanya apabila budaya ‘kopi-kopi’ berkaitan dengan pemberian lesen berniaga membuatkan komuniti perniagaan Sabah yang sah menjadi marah.
Bagaimanakah para peniaga Sabahan yang jujur dan rajin akan bersaing dengan peniaga dari luar apabila mereka ini dengan mudah mendapatkan lesen serta mengendalikan perniagaan mereka tanpa mematuhi undang-undang dan Undang-undang Kecil yang sedia ada?

Pertambahan mendadak kedai-kedai runcit Pakistan di seluruh negeri yang sepatutnya dikategorikan sebagai pemilikkan tunggal tetapi dikendalikan secara terang-terangan oleh individu-individu bukan warganegara Malaysia hanyalah salah satu contoh betapa rasuah telah berakar umbi di Sabah bukan hanya dalam bidang politik malah ekonomi negeri ini.
Dan bagaimanakah rakyat Sabah boleh melupakan insiden melompat parti oleh katak-katak Sabah pada tahun 2020 dan tahun-tahun berikutnya? Di pihak manakah ADUN-ADUN katak kini berada? Walau apa pun alasan yang mereka berikan kerana melompat, hakikatnya bekas Ketua Polis, Tan Sri Hamid Bador (dalam ucapan perpisahannya) telah mengatakan bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu adalah keji dan berunsur rasuah.
Semasa pentadbiran Warisan pada 2018-2020, kita telah mencipta sejarah apabila menjadi Negeri pertama di Malaysia yang telah meletakkan pegawai kanan SPRM di Pejabat Ketua Menteri sebagai komitmen kita untuk memerangi budaya rasuah yang menjadi masalah pada ketika itu yang diwarisi dari Kerajaan terdahulu.
Dan apabila Warisan mendapat mandat daripada rakyat Sabah untuk membentuk Kerajaan Negeri yang baharu, kita akan sekali lagi menempatkan pegawai-pegawai SPRM di pejabat-pejabat Kerajaan dan sebagai penambahbaikan untuk membanteras budaya rasuah ini, kita akan bekerjasama dengan beberapa badan anti-rasuah nasional dan antarabangsa dalam penghasilan satu pelan tindakan baharu yang menekankan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab di Sabah di semua peringkat.
Kerangka tindakan ini akan kita buat mengikut model anti-rasuah dan ketelusan Singapura kerana negara itu kini menduduki tempat ke-5 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) 2023 dan satu-satunya negara Asia dalam ranking 10 teratas.
Terrence Siambun
Naib Presiden
Parti Warisan


