Banjir Kilat di Kg. Bergosong Bangkitkan Kebimbangan Penduduk, YB Sebatik Gesa Tindakan Segera

SEBATIK, 3 Ogos – Kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Bergosong, Pulau Sebatik pada pagi Isnin sekali lagi membangkitkan kebimbangan penduduk mengenai risiko banjir di kawasan berkenaan, sekali gus mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik menggesa tindakan segera diambil bagi menangani masalah tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, hujan lebat mengakibatkan paras air Sungai Bergosong Besar meningkat dengan pantas sehingga menyebabkan kawasan berhampiran lintasan sementara di Tapak Jambatan No. 1 dinaiki air.

WhatsApp Image 2026 08 04 at 07.28.07

Menurut laporan awal yang diterima, peningkatan paras air berpunca daripada gabungan aliran permukaan dari kawasan berbukit di sempadan Indonesia, hujan lebat serta keadaan air pasang. Keadaan itu menyebabkan sisa hanyut dan sampah terkumpul di lintasan culvert sementara sehingga menghalang kelancaran aliran air.

WhatsApp Image 2026 08 04 at 07.28.08 (2)

ADUN Sebatik berkata, walaupun air mula surut selepas hujan berhenti, kejadian tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana penduduk telah lama menyuarakan kebimbangan mengenai risiko banjir, khususnya ketika projek pembinaan jalan dari Kampung Sungai Pukul ke Kampung Sungai Bergosong masih berjalan.

“Keselamatan penduduk mesti menjadi keutamaan. Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berulang, lebih-lebih lagi apabila musim monsun bakal tiba. Semua pihak berkaitan perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah ini diselesaikan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

WhatsApp Image 2026 08 04 at 07.28.08 (1)

Beliau berkata, pihak kontraktor telah memaklumkan bahawa jentera telah digerakkan ke lokasi sejurus selepas kejadian bagi membersihkan sisa hanyut dan membuka semula laluan air yang tersumbat di lintasan sementara.

Menurut beliau lagi, kontraktor turut mencadangkan penambahan satu lagi culvert berdiameter 1,800 milimeter di lintasan sementara Jambatan No. 1 bagi meningkatkan kapasiti aliran air daripada dua kepada tiga culvert sebagai langkah menghadapi musim monsun.

Beliau menyambut baik tindakan pantas tersebut, namun menegaskan bahawa langkah pembaikan perlu dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan dan tidak boleh sekadar menjadi cadangan di atas kertas.

Katanya, semua agensi berkaitan termasuk kontraktor, perunding, jabatan teknikal dan pihak penyelia projek perlu menjalankan penilaian teknikal secara menyeluruh terhadap reka bentuk lintasan sementara, sistem saliran serta kapasiti aliran air bagi memastikan infrastruktur yang disediakan benar-benar mampu menampung keadaan cuaca ekstrem.

“Penduduk Kampung Bergosong tidak seharusnya terus hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat. Projek pembangunan yang dilaksanakan mestilah mengambil kira keselamatan rakyat dan tidak menambah risiko kepada komuniti setempat,” katanya.

Berdasarkan laporan insiden, banjir berkenaan hanya menyebabkan gangguan sementara kepada laluan di lintasan sementara dan tidak melibatkan sebarang kerosakan pada struktur kekal projek. Tiada kemalangan, kecederaan, kematian atau kerosakan harta benda turut dilaporkan setakat pemeriksaan awal.

Laporan itu turut memaklumkan kerja-kerja pembersihan telah dijalankan bagi mengeluarkan sisa hanyut dan membuka semula laluan air, selain pemantauan berterusan terhadap paras sungai dan keadaan lintasan sementara sedang dilaksanakan.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah mempercepatkan pemasangan culvert tambahan berdiameter 1,800 milimeter, meneruskan pemantauan paras air terutama ketika hujan lebat dan air pasang, melaksanakan pemeriksaan berkala terhadap lintasan sementara serta memastikan kerja-kerja pembersihan sisa hanyut dilakukan secara konsisten bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sementara itu, ADUN Sebatik berkata beliau akan terus memantau perkembangan projek tersebut dan meminta semua pihak berkaitan memberi keutamaan kepada penyelesaian jangka pendek serta jangka panjang demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Kampung Bergosong sentiasa terpelihara.

  • Related Posts

    RM1.5 Billion “Guarantee” Rests on Political Will, Not the Federal Constitution

    I refer to the statement by the Minister in the Prime Minister’s Department for Sabah and Sarawak Affairs, Datuk Ts. Mustapha Sakmud that the RM1.5 billion interim special grant to…

    Read more

    Prestasi Ekonomi Sabah Meningkat Semasa Pentadbiran Shafie Apdal

    KOTA KINABALU – Sabah sebenarnya telah mencatatkan peningkatan prestasi ekonomi yang baik ketika era pentadbiran Datuk Seri Shafie Apdal, dengan pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan dan disokong oleh pelaburan yang kukuh.…

    Read more